Sunday, December 7, 2008

Sesi bersama Janggutmas ~ Mat Jenin Vs Pak Kaduk~

Aduhai malang Pak Kaduk, malang Pak Kaduk,ayamnya menang, kampung tergadai...
Assalamu'alaikum...Salam diberi pembuka bicara, salam Janggutmas pembuka minda...Bait-bait di atas dipetik dari salah satu seloka yang terkenal sehingga kini iaitu Seloka Pak Kaduk. Janggutmas sengaja bawakan petikan bait di atas bagi mengingatkan kembali kisah-kisah tentang masyarakat Melayu zaman dahulu kepada para pembaca. Ingatkah lagi kita tentang cerita-cerita Melayu lama seperti Mat Jenin, Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang, Hang Tuah,Puteri Gunung Ledang dan sebagainya?
Tidak dinafikan sememangnya setiap cerita-cerita rakyat tersebut membawa mesej baik kepada pembaca atau pendengar. Namun di sebalik kebaikan tersebut secara tidak sedar kita sebenarnya sedang menjatuhkan maruah bangsa kita sendiri. Kita sebenarnya telah mengambarkan kepada masyarakat bahawa masyarakat kita memang selalu bernasib malang atau dalam kata yang lebih kasar didengar sebagai satu masyarakat yang bodoh.
Bukan nak menempelak atau memperlekehkan karya-karya rakyat kerana tidak dinafikan karya-karya tersebut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Kalau tidak masa kan karya-karya ini mampu bertahan sehingga sekarang. Yang salahnya adalah diri kita sendiri. Mengapa perlu kita membuat kesimpulan yang negatif dari kisah-kisah tersebut?Jika jawapannya adalah untuk dijadikan tauladan mengapa tidak kita simpulkan kisah-kisah tersebut secara positif?Atau adakah pengarang karya itu sendiri yang mengehadkan kesimpulan cerita tersebut seperti berikut. Bagi Janggutmas, tentu sekali tidak. Mengapa mesti kita simpulkan bahawa Mat Jenin itu seorang yang negatif kerana kuat dengan angan-angannya sedangkan ada aspek-aspek positif yang dapat kita kutip dari kisah tersebut.Perlakuan kita tidak ubah seperti lori majlis Perbandaran mengutip sampah.Semua yang berada dalam tong sampah dianggap sebagai tidak bernilai sedangkan jika dibuka sampah tersebut, mungkin ada tin-tin kosong atau plastik-plastik yang dapat dijual dan dan dinikmati hasilnya.Nah, usah dibuka dada, usah di tanya selera sebaliknya fikirkan dengan akal fikiran yang waras.
Jika Sulalatus Salatin dijadikan bahan kajian kepada pelbagai persoalan yang melibatkan masyarakat Melayu, tidak mustahil suatu masa nanti cerita-cerita rakyat juga turut dijadikan bahan kajian bagi menggambarkan masyarakat Melayu zaman dahulu. Bayangkan,jika cerita-cerita rakyat disampaikan dengan bentuk yang negatif apakah kesimpulan yang dapat dibuat kelak? Umpama mencari buah di pasar,penilaian tentu sekali berdasarkan luarannya.Di manakah hendak di letak muka anak cucu kita jika nenek moyang mereka dikatakan orang yang bodoh, betul bendul, bernasib malang dan mudah ditipu?Bukan salah sesiapa tetapi salah diri kita sendiri.
Di sini Janggutmas nak kaitkan beberapa kesimpulan negatif dari cerita rakyat dan kesimpulan yang seharusnya di buat berdasarkan cerita tersebut. Janggutmas nak mulakan dengan kisah Mat Jenin. Mat Jenin berangan-angan nak menjual kelapa, memelihara ayam, kemudian kambing,lembu dan seterusnya berkahwin dengan puteri raja. Salahkan Mat Jenin berangan,tentu tidak kan? Jadi mengapa selalu kita salahkan Mat Jenin kerana suka berangan-angan. Mat Jenin berangan semasa dia berada di atas pokok kelapa, ini bermakna Mat Jenin melakukan pekerjaan sebaliknya bukanlah hanya berangan di tempat tidur. Jadi kesimpulan yang sepatutnya adalah Mat Jenin adalah seorang yang mempunyai matlamat dan hala tujuan dalam hidupnya. Sebaliknya kita harus memarahi Mat Jenin jika dia tidak berangan-angan. Berangan bermakna Mat Jenin mempunyai cita-cita, namun status angan-angan itu berada di bawah dari cita-cita. Prinsip angan-angan Mat Jenin sebenarnya telah lama digunapakai oleh ahli perniagaan.Bermula dari perniagaan kecil sehinggalah berjaya membuka syarikat perniagaan sendiri.Cuma kita sahaja yang ketinggalan.
Dalam Hikayat Hang Tuah pula, Hang Tuah seringkali diangkat sebagai hero melayu sebaliknya Hang Jebat pula dianggap sebagai watak antoganis dalam hikayat tersebut. Janggutmas tak berapa setuju dengan kesimpulan yang dibuat berdasarkan hikayat ini. Adakah semata-mata kerana Hang Tuah taat dan akur kepada setiap tintah perintah tuanku sultan ia semestinya dianggap sebagai perwira.Jika dikaji hikayat tersebut banyak tintah perintah sultan adalah bagi tujuan kepentingan diri sehingga mengabaikan segala nasib rakyat. Manusia punya akal,punya fikiran.Kita sudah tentu dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk.Tapi adakah Hang Tuah juga mempunyai akal fikiran seperti kita?Bukan nak mengeji perwira melayu kebanggaan kita ni cuma Hang Tuah dilihat hanyalah seperti seorang boneka sultan yang sudah dicucuk hidungnya. Bagaikan lembu dicucuk hidung,kemana sahaja ditarik tuannya, kesitulah ia pergi.Sebaliknya Hang Jebat yang sering dicanang sebagai penderhaka dilihat bertindak mengikut batas bicara sebagai seorang insan yang bermaruah dan berakal. Hang Jebat bukanlah seorang penderhaka.Beliau taat setia kepada Sultan sama seperti Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya yang lain, cuma beliau mempunyai pendirian. Taat selagi betul,bukan taat membuta tuli. Hang Jebat sanggup bergadai nyawa bagi membela sahabat karibnya, jelas menyerlahkan darah keperwiraan dalam dirinya.Bila muncul Hang Tuah di depan Hang Jebat,tak terbayang kegembiraan Hang Jebat menyambut kepulangan sahabatnya yang sudah dianggap sebagai saudara. Namun sayang seribu kali sayang,kemunculan orang yang dibela dan disayangai rupa-rupanya untuk membunuhnya.Tikam dari belakang. Di beri susu di balas tuba beracun.Jadi siapa perwira, siapa penderhaka?Fikir-fikirkan.
Di sini, cukuplah Janggutmas lampirkan dua contoh cerita rakyat untuk sama-sama kita renungkan. Sama saja dengan cerita rakyat yang lain, cuma kita sama-sama fikirkan molekkah kesimpulan yang ada sekarang atau harus ada kesimpulan lain yang harus kita baiki demi membaiki imej masyarakat melayu zaman dahulu. Marilah bersama-sama Janggutmas mengubah pemikiran lama kita ke arah membentuk pemikiran rizalismethinker.Wassalam.

No comments: