Thursday, January 29, 2009

Bicara Tentang Cinta


Assalamualaikum...Lambaian salam dari Rizalismethinker kepada semua. Ingin sekali Rizalismethinker berbicara tentang cinta kerana dalam kehidupan seharian manusia tidak kira tua atau muda kita begitu dekat dengan cinta. Budak-budak sekolah pun sudah mula mengenal erti cinta. Tak perlu Rizalismethinker nak buktikan, kita masing-masing punya bukti. Cuba kita imbau kembali zaman kanak-kanak kita dulu, pernah atau tidak kita suka kan seseorang. Sehinggakan ada antara kita pernah sukakan orang yang lebih berusia dari kita seperti cikgu yang mengajar, jururawat yang merawat ataupun mungkin kakak-kakak yang lebih senior. Begitulah hebatnya penangan cinta sehinggakan tiada antara kita yang dapat menghindarnya.

Cinta merupakan satu fitrah. Cinta merupakan satu lumrah. Cinta sesuatu yang indah. Indahnya cinta sehingga dalam Al Quran, kalamullah panduan manusia turut mengandungi perkataan cinta, Hubb. Jika hari ini ada sesiapa yang menolak cinta maka ia sudah lari dari fitrah seorang manusia. Jika hari ini ada orang yang mencerca cinta maka ia sebenarnya berbalik kepada dirinya sendiri. Rosaknya cinta bukan kerana cinta itu sendiri sebaliknya pelakon cinta itu yang merosakkannya. Cinta ibarat kain yang belum dicorakkan, kitalah yang bakal mencoraknya. Elok cantingan kita eloklah corak cinta kita, jika tidak pasti sebaliknya.
Satu perkara lagi yang menarik apabila diperkatakan tentang cinta ialah hanya manusia bercinta. Cinta menjadi penghubung kepada berlakunya hubungan intim antara pasangan lelaki dan perempuan. Dari cintalah berputiknya kasih sayang, percaya mempercayai, rindu dan dendam dan rasa selesa antara satu sama lain yang kemuncaknya membawa kepada hubungan intim suami dan isteri. Perkara ini bukan jelik untuk diperkatakan. Rizalismethinker hanya ingin membawa gambaran sebenar betapa indahnya sebuah cinta itu. Mungkin sebelum ini kita pernah bercinta tetapi jarang sekali kita fikirkan betapa indah sebenarnya cinta itu. Semua itu jelas menonjolkan kebesaran Tuhan semesta alam yang sentiasa bersifat maha Pengasih dan Penyayang. Cuba kita lihat haiwan yang menjalankan hubungan seks ia jelas berbeza dengan manusia bukan? Tiada laluan cinta yang dilalui oleh haiwan sebelum melakukan hubungan intim. Hanya nafsu semata-mata. Hubungan intim manusia begitu kompleks sekaligus meninggikan lagi darjat manusia sebagai khalifah ALLAH.

Cinta tidak sentiasa di balas. Satu lagi perkara yang menjadi lumrah seorang manusia. Oleh itu, bagi pencinta yang cuba untuk bercinta, jangan sesekali anda menyalahkan keadaan sekiranya cinta anda tidak dibalas. Cinta tak kan datang kalau tidak diberi dan cinta tak kan datang kalau tidak memberi. Ramai orang terpengaruh dengan kata-kata cinta yang diujarkan oleh Rosyam Nor dalam cerita KL Menjerit. Rizalismethinker jauh menyimpang dari bersetuju dengan ungkapan tadi. Bagi Rizalismethinker apabila muncul satu perasaan cinta dalam diri manusia ia merupakan satu anugerah. Asal saja cinta itu bukan bertunjang dan berakarkan nafsu. Apabila kita cintakan seseorang pasti ada faktor pendorong untuk kita mencintainya. Jadi sekiranya cinta kita tak di balas tak kanlah secara cepat kita bertukar menjadi benci kepadanya. Jika itu berlaku maka cinta anda adalah cinta palsu. Bagi Rizalismethinker biarlah cinta tak di balas ia tak kan sekali melupuskan perasaan cinta kita kepada yang dicintai. Cinta itu datang dari kita, biarlah kita terus simpannya di dalam hati kita. Soal terima atau tidak sebenarnya menjadi persoalan yang datang kemudian. Langsung tidak menganggu proses cinta kita. Cuma kita kena bersedia lebih awal. Memanglah tidak dapat dinafikan perasaan kecewa pasti akan muncul tetapi cuba kita manipulasikan perasaan kecewa itu kepada sebuah harapan supaya orang yang kita cintai bertemu jodoh yang lebih baik dari kita contohnya, ini akan menjadikan perasaan kecewa kita bertukar menjadi sebuah cinta yang benar-benar suci. Cinta itu pengorbanan bukan perkahwinan. Perkahwinan hanya menjadi kayu ukur, pengorbanan itulah perkara utama.


Kepada semua pencinta ingatlah "Bercinta tiada salahnya, tetapi pastikan tunjang syahadah dan aqidah kita masih pada kiblat yang betul"


Taj Mahal dibina untuk Si Mumtaz,

Lambang tugu cinta Shah Jehan,

Cinta di beri tidak di balas,

Kuburkan ia sesekali jangan.

Tuesday, January 20, 2009

HITAMKAH KAPIT?


Tahniah. Anda telah dipilih untuk berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan bersedia pula untuk berkhidmat di Kapit Sarawak.


Senyumku tiada lagi bergula tiada manisan,

Hilanglah keluarga, ghaiblah teman,

Jari di tuding salahkan keadaan,

Mengapa di Kapit aku di tempatkan?

Ribuan Manusia Jutaan insan,

Mengapa aku menjadi cabutan.

Suara-suara sumbang mula kedengaran,

Tambahkan kekalutan tambahkan kekusutan,

Inikah suratan tercatat kenyataan,

Rungutan si Pondan tiada kemaluan,

Bimbang langkahnya tak bertemu jalan.


Putihkah Kapit atau hitam warnanya,

Tunggulah detik, saat, ketika,

Kan ku tafsir dengan mata hati dan minda,

Beg digalas penuh paksa,maki seranah keadaan suasana,

Tinggallah ibu berangkat anakanda,

Menuju destinasi yang entah di mana.

Jauh perjalanan, luas pengalaman terpancar kebesaran Tuhan,

Indah alam dari awanan, timbul keinsafan,

Sudah tidak bersyukur kau cerca ketentuan Tuhan,

Allahuakbar,Allahuakbar,Allahuakbar,

Ku bulatkan azam ku betulkan laluan,

Di mana ku berada tak lepas dari pandangan,

Khalifah Allah pemikul tugasan.

Lautan anak-anak menanti penuh harapan,

Mengubah nasib , hidup dan masa depan,

Menanti untuk aku corakkan,

Tergapai mereka tanpa haluan.


Diskriminasi ku tolak ke tepi,

Tranformasi menjadi misi,

Evolusi ku bawa ke mari,

Hatiku hatimu bersatu kini,

Hitamkah Kapit terjawab kini,

Di sinilah tempat aku berbakti,

Kepada bangsa, agama dan diri.

Sunday, January 18, 2009

Pendam


Lisan berbicara luahan jiwa,
Biar kelu lidah membisu, kan ku rungkai segalanya,
Agar kau mengerti yang terkandung rasa.

Belum kenal nama, putik cinta telah berbunga,
Belum kenal suara, lautan kasih sudah bergelora,
Salahkah aku punya rasa itu semua?,
Sedangkan ianya fitrah seorang manusia.

Tinggi lampai menyerlah ayunya,
Putih bersih luhur hatinya,
Berkaca mata nampak cerdiknya,
Lembut gemalainya aku tergoda.

Ku dekati bayangmu, ku sentuh dengan jemariku,
tersentak aku pabila kerikil batu menjamah kukuku,
Lantas tersedar dari anganan, aku berlari,
Mencari cermin, mengintai diri.

Ternyata tiada selayaknya aku dengannya,
Bidadari syurga jelmaan dunia,
Ku undur, ku bawa diri,
Membawa bersama cintamu Yuni.

Saturday, January 3, 2009

IRAQ DALAM KENANGAN

Aku bukan lagi perjuang,
Yang dulu bersuara lantang.
Ku Imbau kenangan, ku buka sejarah silam,
Manusia benar-benar sudah tenggelam,
Bukan badai liar menghentam,
Hanya dek menular Liberalisme Islam.

Aku bukan lagi perjuang,
Yang dulu musuh ku tentang.
Ku buka sejarah silam, ku soroti bait-bait terkarang,
Manusia selalu rebah sebelum berjuang,
Mengharapkan rakan berseorang,
Kau hilang tiada berbayang.

Aku bukan lagi perjuang,
Yang dulu semangat menjulang.
Ku soroti bait-bait terkarang, ku temui satu gambaran,
Gambaran manusia tiada pegangan,
Kau terbiar tanpa haluan, tanpa tujuan,
Terlupa seketika pada zat yang sentiasa memerhatikan.

Tika kita punya waktu, tika kita diberi kesempatan,
Berjuanglah kau sebagai insan,
Letakkan iman senantiasa di hadapan,
Jadikan kalimah ALLAH zikir alunan,
Biar ditusuk dadamu, biar disiat dagingmu,darah memercik jadikan kesaksian,
Bekal kau bertemu Tuhan.

Aku bukan lagi perjuang,
Sudah tersedia tali pergantungan,
Jadikan aku sebagai pengajaran,
Untuk kau teruskan perjuangan.