Tuesday, March 24, 2009


Kertas itu sungguh luar biasa,
kecil bernilai,
besar bernilai,
sikit bernilai,
banyak bernilai,
terkoyak pasti ditampal,
kerana,
di dalamnya, terhimpun segala hikmat dan nikmat,
terjawap
rahsia dan alamat.

kertas itu bisa menggoncang dunia,
sampai gawat,
macam kiamat,
hingga bercawat.

Dengannya;
lidah enggan lagi berkata-kata,
celik terus jadi buta,
lawan bertukar sahabat setia,
hati berbelah berbagi dua,
sengketa 2 dunia,
Raja menang Pak Kaduk binasa,
Si Bodoh diangkat teraju negara,
auta dibelit menjadi fakta.

Tanpanya;
melarat,
dipijak, dihambat,
ditindas,
Si kuku besi tak berkarat,
berkeroncong irama lagu asli,
perut-perut yang tak diisi,
tidur,
berbantal lengan,
bertilam bumi,
berbumbung langit.

itulah sebuah kuasa,
pengarah sebuah sketsa,
manusia dilatih menjadi hamba,
yang dirantai dua kakinya.

Friday, March 20, 2009

JALAN


Antara lurus dan bersimpang,

mana tujuku.

susah dan senang pilihlah satu,

tapi,

yang bulat tak datang bergolek,

yang pipih tak terbang melayang.


Terkedu aku dipersimpangan,

bingung memikirkan haluan,

kirikah langkah atau kanan aku dahulukan,

bermain dengan jiwa bersoal dengan perasaan,

sukar untuk aku tentukan.


Mimpi ditafsir pohon panduan,

mmalangnya ia bisikan syaitan,

musuhnya Adam zaman-berzaman,

anak cucunya jadi sasaran..


Aku bukan pendekar,

yang bisa menepis serangan,

aku bukan wali,

yang hatinya begitu dekat dengan Tuhan,

aku adalah aku, yang kepalanya mudah diluku,

aku tetap aku, yang cerdiknya selalu ditipu.


Antara lurus dan bersimpang,

belum aku tetapkan,

mulakan langkah takut terjun lubang,

tetapi,

syurga dan neraka,

itu pilihan, berbaki masa itu kesempatan,

tiada pintasan ke syurga,

itu ketetapan,

jalan lain ke syurga,

nerakalah pengakhiran.


Masih aku dipersimpangan,

bara ku genggam lecurlah tangan,

ku rintis enau yang sibuk melepaskan pucuk masing-masing,

ku redah hujan emas,

ditimpa hujan batu menyakitkan,

ternyata, dua-dua bukan pilihan.


Berakhir aku di tembok bangunan,

hati yang gusar beralih damai,

aneh tetapi tidak pelik,

hairan tapi tak sampai pengsan,

kerana dulu pernah aku kedengaran,

inilah destinasi terhimpun ketenangan,

Kota Mekah gerbang laluan,

Al Quran dan Sunah pegangan insan,

itulah jalan terjawab persoalan.

TERLUPA


Kekadang aku terlupa,
tentang aku sebenarnya,
bukan anak orang kaya,
bukan orang yang berharta…

Di sana ibuku bekerja,
Menahan lapar dahaga,
Makan pun takut,
Takut aku di sini sengsara…

Aku di sini,
tak pernah ambil peduli,
asal kemahuan aku dituruti,
asal keinginan aku dipenuhi.

Kekadang menangis sendiri,
Kerana perut belum diisi,
di muka pintu dia menyendiri
Kenangkan baki usia yang perlu ditempuhi.

Aku memang pelupa,
Janji yang pernah dipatri,
Dengan Zat Yang Maha Esa,
Dengan Zat Yang Maha Kuasa.

Apa aku fakir dia lupa???
Tidak,tidak… Cuma dibiarkan saja,
Kerana telah tersurat dalam perjanjian,
Setiap tindakan diberi ganjaran…

Bodohlah aku, celakalah aku,
Kalau aku terus lupa,
Kerana aku masih diberi masa,
untuk aku ingat semula…

AKU BUKAN SESIAPA


Aku Bukan Sesiapa
Aku takkan Jadi kau
Dan kau…
Rugi jadi aku
Sebab aku bukan istimewa…

Aku hanya ingin jadi aku
Bukan kaya jadi impian
Bukan terkenal jadi igauan
Bukan pangkat yang aku kejarkan
Cuma….
Aku perlu lunaskan
Harapan menggunung yang diberikan
Oleh insan …
Yang tak perlu aku sebutkan…

Berikan aku ruang Ya Rahman…
Beri aku kesempatan…
Sebelum Kau jemput aku ke pangkuan…
Agar kata bisaku kota …
Agar janji bisa ku tepati…