Sunday, December 28, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430


Assalamu'alaikum...Rizalismethinker ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru hijrah kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sempena tahun baru ini marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri. Segala kekhilafan sepanjang tahun lepas memang sudah mustahil untuk kita perbetulkan semula, tetapi tahun baru yang tiba inilah sepatutnya kita jadikan sebagai platform untuk kita berubah. Berubah untuk satu. Berubah untuk Zat yang mencipta. Ingatlah, tidak sukar untuk berubah!Kuatkan iltizam dan jangan lagi berpaling ke belakang.InsyaAllah kita akan berjaya. Akhirulkalam, tiada short cut ke syurga.Fikir-fikirkan.

Saturday, December 27, 2008

MENTARI LEBARAN BARU




Salam dunia, Salam semua,
Salam dari seberang pembuka bicara,
Salam Palestin terjawabkah ia,
Salam Kedamaian salam ku pinta,
Lembaran baru dibuka, menutup segala yang lama,
Luka berdarah berparut tiba,
Masihkah kita di takuk lama,
Membiarkan dunia terus terdera,
Ayuh teman,sahabat semua,
Ayuh Iraq, Palestin , Amerika,
Kita lupakan sengketa, padamkan dendam membara,
Kita bina peradaban baru jaya.
Tatkala dunia mengeluh sakit tua,
Mengapa perlu tambahkan peritnya,
Inilah masa tiba ketika,
Transformasi, reformasi pemikiran dan minda.
Cukuplah, sudahlah, insaflah wahai insan semua,
Mengapa perlu kau ambil tugas Izrail mencabut nyawa.
Apa guna kuasa? Apa guna bala tentera?
Jika hanya mengundang sengsara.
Tak cukup Tsunami melanda kau pinta beliung binasa,
Dihantar gegak gempita kau pohon gunung menjadi rata,
Sia-siakah semua itu bagi-Nya,
Atau ingin sedarkan hamba dari lena.
Lembaran baru dibuka tanda peluang masih ada,
Perubahan kepimpinan itulah haluannya,
Kembali ke syiar fitrah manusia,
InsyaAllah tiada yang mustahil bagi-Nya.
Jika kau malu mengaku, tuduhlah aku,
Jika kau mahu kuasa ambillah semua,
Nukleur, uranium usah lagi kau sengketa,
Ayuh kita gencatkan segala senjata,
Kita pamer di muzium-muzium lama,
Tanda berbalah berakhir zamannya.
Ayuh sedarlah saudaraku semua,
Tekadkan azam bulatkan suara,
Kita jadikan mentari 1 Januari 2009 satu titik tanda,
Ke arah anganan, impian dan cita.

JANGGUTMAS 27DISEMBER 2008-1730PM

LOVE BUKAN CINTA


Indah sungguh Tajmahal dibina,
Lambang pengorbanan cinta sejati,
Soalku beri pada pencinta,
Jawaplah ia di dalam hati.

Khabarnya bulan indahnya rupa,
Tiada tandingnya si matahari,
Cintamu banyak pada manusia,
Kasihmu pada Rab masihkah berbaki?

Belaian bayu lembut menggoda,
Datang taufan meranap bumi,
Zikirmu hanya pada si dia,
Tidakkah cemburu Tuhanmu nanti?


Tatkala malam menjengah tiba,
Dunia riuh bertukar sepi,
Banyak masa berbual bermesra,
Adakah ruang bertemu Ilahi?.

Deruan ombak membisik berita,
Membawa khabar tibanya Tsunami,
Muhrim bukan, ikatan pun tiada,
Halalkah auratnya engkau tatapi?


Usah di ganggu si mergas rimba,
Hidupnya tenteram aman harmoni,
Bila nafsu menguasai minda,
Haram halalnya masihkah peduli?

Hujan petang tiada diduga,
Terpancar indah lengkungan pelangi,
Bila berdua bermadu asmara,
Ke lembah zinakah tujumu nanti?

Indah sungguh lautan samudera,
Biru airnya menambat hati,
Suara manja menggoda jiwa,
Anu tercabar dapatkah diatasi?

Permainya Kapit siapa menyangka,
Majunya usah disangkal lagi,
Tangan dijamah, tubuh di rasa,
Di situ sajakah ia terhenti?

Adam dan Hawa pasangan bahagia,
Cinta pertama di muka bumi,
Jika belum bertemu jawapnya,
Cintailah Ilahi cintamu sejati.

Cintakan bunga, bunga kan layu, cintai manusia, manusia kan mati,Cintailah ALLAH , cinta yang kekal abadi. AKHIRULKALAM selamat bermuhasabah dari Janggutmas.

JANGGUTMAS27 DISEMBER 2008-0400AM

Sunday, December 7, 2008

Sesi bersama Janggutmas ~ Mat Jenin Vs Pak Kaduk~

Aduhai malang Pak Kaduk, malang Pak Kaduk,ayamnya menang, kampung tergadai...
Assalamu'alaikum...Salam diberi pembuka bicara, salam Janggutmas pembuka minda...Bait-bait di atas dipetik dari salah satu seloka yang terkenal sehingga kini iaitu Seloka Pak Kaduk. Janggutmas sengaja bawakan petikan bait di atas bagi mengingatkan kembali kisah-kisah tentang masyarakat Melayu zaman dahulu kepada para pembaca. Ingatkah lagi kita tentang cerita-cerita Melayu lama seperti Mat Jenin, Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang, Hang Tuah,Puteri Gunung Ledang dan sebagainya?
Tidak dinafikan sememangnya setiap cerita-cerita rakyat tersebut membawa mesej baik kepada pembaca atau pendengar. Namun di sebalik kebaikan tersebut secara tidak sedar kita sebenarnya sedang menjatuhkan maruah bangsa kita sendiri. Kita sebenarnya telah mengambarkan kepada masyarakat bahawa masyarakat kita memang selalu bernasib malang atau dalam kata yang lebih kasar didengar sebagai satu masyarakat yang bodoh.
Bukan nak menempelak atau memperlekehkan karya-karya rakyat kerana tidak dinafikan karya-karya tersebut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Kalau tidak masa kan karya-karya ini mampu bertahan sehingga sekarang. Yang salahnya adalah diri kita sendiri. Mengapa perlu kita membuat kesimpulan yang negatif dari kisah-kisah tersebut?Jika jawapannya adalah untuk dijadikan tauladan mengapa tidak kita simpulkan kisah-kisah tersebut secara positif?Atau adakah pengarang karya itu sendiri yang mengehadkan kesimpulan cerita tersebut seperti berikut. Bagi Janggutmas, tentu sekali tidak. Mengapa mesti kita simpulkan bahawa Mat Jenin itu seorang yang negatif kerana kuat dengan angan-angannya sedangkan ada aspek-aspek positif yang dapat kita kutip dari kisah tersebut.Perlakuan kita tidak ubah seperti lori majlis Perbandaran mengutip sampah.Semua yang berada dalam tong sampah dianggap sebagai tidak bernilai sedangkan jika dibuka sampah tersebut, mungkin ada tin-tin kosong atau plastik-plastik yang dapat dijual dan dan dinikmati hasilnya.Nah, usah dibuka dada, usah di tanya selera sebaliknya fikirkan dengan akal fikiran yang waras.
Jika Sulalatus Salatin dijadikan bahan kajian kepada pelbagai persoalan yang melibatkan masyarakat Melayu, tidak mustahil suatu masa nanti cerita-cerita rakyat juga turut dijadikan bahan kajian bagi menggambarkan masyarakat Melayu zaman dahulu. Bayangkan,jika cerita-cerita rakyat disampaikan dengan bentuk yang negatif apakah kesimpulan yang dapat dibuat kelak? Umpama mencari buah di pasar,penilaian tentu sekali berdasarkan luarannya.Di manakah hendak di letak muka anak cucu kita jika nenek moyang mereka dikatakan orang yang bodoh, betul bendul, bernasib malang dan mudah ditipu?Bukan salah sesiapa tetapi salah diri kita sendiri.
Di sini Janggutmas nak kaitkan beberapa kesimpulan negatif dari cerita rakyat dan kesimpulan yang seharusnya di buat berdasarkan cerita tersebut. Janggutmas nak mulakan dengan kisah Mat Jenin. Mat Jenin berangan-angan nak menjual kelapa, memelihara ayam, kemudian kambing,lembu dan seterusnya berkahwin dengan puteri raja. Salahkan Mat Jenin berangan,tentu tidak kan? Jadi mengapa selalu kita salahkan Mat Jenin kerana suka berangan-angan. Mat Jenin berangan semasa dia berada di atas pokok kelapa, ini bermakna Mat Jenin melakukan pekerjaan sebaliknya bukanlah hanya berangan di tempat tidur. Jadi kesimpulan yang sepatutnya adalah Mat Jenin adalah seorang yang mempunyai matlamat dan hala tujuan dalam hidupnya. Sebaliknya kita harus memarahi Mat Jenin jika dia tidak berangan-angan. Berangan bermakna Mat Jenin mempunyai cita-cita, namun status angan-angan itu berada di bawah dari cita-cita. Prinsip angan-angan Mat Jenin sebenarnya telah lama digunapakai oleh ahli perniagaan.Bermula dari perniagaan kecil sehinggalah berjaya membuka syarikat perniagaan sendiri.Cuma kita sahaja yang ketinggalan.
Dalam Hikayat Hang Tuah pula, Hang Tuah seringkali diangkat sebagai hero melayu sebaliknya Hang Jebat pula dianggap sebagai watak antoganis dalam hikayat tersebut. Janggutmas tak berapa setuju dengan kesimpulan yang dibuat berdasarkan hikayat ini. Adakah semata-mata kerana Hang Tuah taat dan akur kepada setiap tintah perintah tuanku sultan ia semestinya dianggap sebagai perwira.Jika dikaji hikayat tersebut banyak tintah perintah sultan adalah bagi tujuan kepentingan diri sehingga mengabaikan segala nasib rakyat. Manusia punya akal,punya fikiran.Kita sudah tentu dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk.Tapi adakah Hang Tuah juga mempunyai akal fikiran seperti kita?Bukan nak mengeji perwira melayu kebanggaan kita ni cuma Hang Tuah dilihat hanyalah seperti seorang boneka sultan yang sudah dicucuk hidungnya. Bagaikan lembu dicucuk hidung,kemana sahaja ditarik tuannya, kesitulah ia pergi.Sebaliknya Hang Jebat yang sering dicanang sebagai penderhaka dilihat bertindak mengikut batas bicara sebagai seorang insan yang bermaruah dan berakal. Hang Jebat bukanlah seorang penderhaka.Beliau taat setia kepada Sultan sama seperti Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya yang lain, cuma beliau mempunyai pendirian. Taat selagi betul,bukan taat membuta tuli. Hang Jebat sanggup bergadai nyawa bagi membela sahabat karibnya, jelas menyerlahkan darah keperwiraan dalam dirinya.Bila muncul Hang Tuah di depan Hang Jebat,tak terbayang kegembiraan Hang Jebat menyambut kepulangan sahabatnya yang sudah dianggap sebagai saudara. Namun sayang seribu kali sayang,kemunculan orang yang dibela dan disayangai rupa-rupanya untuk membunuhnya.Tikam dari belakang. Di beri susu di balas tuba beracun.Jadi siapa perwira, siapa penderhaka?Fikir-fikirkan.
Di sini, cukuplah Janggutmas lampirkan dua contoh cerita rakyat untuk sama-sama kita renungkan. Sama saja dengan cerita rakyat yang lain, cuma kita sama-sama fikirkan molekkah kesimpulan yang ada sekarang atau harus ada kesimpulan lain yang harus kita baiki demi membaiki imej masyarakat melayu zaman dahulu. Marilah bersama-sama Janggutmas mengubah pemikiran lama kita ke arah membentuk pemikiran rizalismethinker.Wassalam.

Salam aidiladha dari Seberang Laut Cina Selatan


Allahuakbar,Allahuakbar,Allahuakbar...Walillahilhamd...Salam aidil adha dari rizalismethinker...Buat kesekian kalinya rizalismethinker tak beraya kat rumah tahun ni. Tapi rizalismethinker terima dengan hati yang terbuka kerana semua yang dilakukan ni semata-mata kerana komitmen terhadap kerja.Apapun, rizalismethinker nak memohon sejuta keampunan dari mak dan ayah,sahabat handai dan kenalan, serta seluruh umat manusia di dunia ini. Salam aidiladha...Moga aidiladha tahun ni menjadi titik tolak ke arah perubahan kita menjadi manusia yang berguna untuk bangsa, negara dan agama.

Saturday, December 6, 2008

Sesi bersama Janggutmas

Assalamu'alaikum...
Kali ni Janggutmas nak berbicara sedikit tentang pendidik alaf baru...Siapa pendidik?Pendidik merupakan sesiapa sahaja tidak kira keturunan, bangsa, agama,atau apa-apa sahaja asalkan dia memikul tanggungjawab sebagai seorang yang mengajar sesuatu kepada orang lain dalam usaha menjadikan insan itu lebih berguna.Namun, jika lihat senario pada masa ini, warga pendidik ternyata lebih lemah moral serta motivasi diri berbanding warga pendidik zaman dahulu.Apa tidaknya?Nak mengajar kena tengok tempat dulu, kalau ditempatkan di kawasan pedalaman maka timbullah pelbagai rungutan. Kita kena bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi seorang pendidik.Bak kata sarjana negara Allahyarham Datuk Usman Awang, dari gurulah maka lahir perdana menteri, peguam, raja bahkan seorang ulama yang mulia juga asalnya dari seorang pendidik.Fikir sebentar,renung sejenak:bayangkan,jika tiada pendidik yang mahu mengajar anak-anak bangsa di Gua Musang, di Baling,mahupun di limbang sarawak,apakah nasib anak-anak bangsa kita kelak? Berbaloikah kita membiarkan nasib mereka tidak terbela hanya kerana lebih mementingkan kepentingan diri?Usah difikir jawapannya kerana jawapannya sudah tentu tidak.Jadi, pesanan Janggutmas kepada guru-guru baru,janganlah jadi guru 25 haribulan.
Ubah minda, ubah persepsi,tingkatkan prestasi.
Berjaya kita bukan semestinya bergaji besar, dapat hidup di tempat yang selesa dan dapat segala yang kita mahu sebaliknya berjaya kita jika pelajar kita dapat menjadi manusia. Sekian...

Sejenak bersama Serban Putih

Hadis riwayat Anas ra., ia berkata:
Nabi saw. bersabda: Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya kerana Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka

Semoga saudaraku sekalian mendapat berkat Ilahi disamping menimba ilmu untuk rujukan dan tatapan anak-anak kita esok. Berdoalah dan berimanlah dengan hati yang ikhlas, sesungguhnya sabda nabi ada menyatakan bahawa ” Ikhlas lah kepada agama mu walaupun dengan sedikit amal”.

announcment







this blog is still under progress,so peace no war